SAMBUTAN ULANG TAHUN HARI KEBANGSAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM (NBD) KE-37

Bandar Seri Begawan, Selasa, 11 Rejab 1442H bersamaan 23 Februari 2021M.

Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NBD) Ke-37, Tahun 2021 telah berlangsung pada 23 Februari, bermula 9.00 pagi di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.

Majlis Belia Brunei turut tidak terlepas dalam sama-sama meraikan Sambutan Ulang tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NBD) ke-37 dengan menyertai upacara perbarisan lalu. Pasukan Komuniti yang disertai oleh Majlis Belia Brunei dan gabungan persatuan-persatuan, kumpulan-kumpulan dan pergerakan belia yang ada di Negara Brunei Darussalam telah diketuai oleh Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Awang Haji Ash’ari selaku Yang Di Pertua Majlis Belia Brunei.

Tema sambutan pada tahun ini ialah 'Menjayakan Wawasan Negara', di mana Brunei Maju dan Berwawasan adalah hasrat murni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam mempersiapkan rakyat dan penduduk NBD menyahut cabaran era Revolusi Industri 4.0 dan gagasan pembangunan yang mampan, ke arah melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran dan berjaya; ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan; serta kehidupan yang berkualiti tinggi.

Tatacara sambutan tahun ini adalah berbeza daripada Sambutan-sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan yang lalu berikutan pandemik COVID-19 yang telah dan terus meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada setiap lapisan masyarakat sejak awal tahun 2020 terutama sekali di NBD.

Sehubungan dengan itu, setiap pihak yang terlibat telah berulang kali disaran untuk mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan mengekalkan penjarakan sosial.

Namun, ia tidak menghalang setiap rakyat dan penduduk NBD untuk meraikan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan NBD dalam norma baharu dengan menerapkan semangat patriotisma kepada raja yang berdaulat, juga negara kita tempat kita membesar dan berbakti agar sentiasa kukuh, maju, dan berkekalan walaupun berhadapan dengan apa juga keadaan.

Disediakan oleh Majlis Belia Brunei.

Previous
Previous

SESI MUZAKARAH MAJLIS BELIA BRUNEI DENGAN PERGERAKAN BELIADAN SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI

Next
Next

Courtesy Call with Youth and Sports Department